HARI INI DALAM SEJARAH : SATU IMBASAN SEJARAH
        Program
    Hari Ini dalam Sejarah lahir daripada pandangan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja
    Persatuan Sejarah Malaysia pada 23hb Julai, 1979. Radio Televisyen Malaysia telah
    mengemukakan permintaan Y.B Menteri Penerangan Dato’ Mohamad Rahmat supaya Persatuan
    Sejarah Malaysia bersama Radio Televisyen Malaysia menerbitkan satu rancangan yang
    mengandungi keratan-keratan peristiwa sejarah tanahair untuk disiarkan melalui TV
    Malaysia. Tujuan diadakan rancangan ini ialah untuk memberi maklumat kepada orang ramai
    tentang sejarah tanahair di samping membawa kesedaran terhadap kepentingan sejarah dalam
    kehidupan mereka. Jawatankuasa Kerja ini telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini
    kepada kajian Arkib Negara supaya dapat disediakan satu projek perintis mengenai program
    ini.
             Hasil daripada cadangan ini Arkib
    Negara telah menyediakan satu memorandum mengenai rancangan tersebut. Cadangan Arkib
    Negara ialah supaya program ini disiarkan tiap-tiap hari mengenai peristiwa-peristiwa
    bersejarah yang telah berlaku pada hari-hari yang berkenaan. Arkib Negara telah
    mencadangkan program ini dinamakan 'Hari Ini Dalam Sejarah'. Di
    samping itu Arkib Negara telah mengkaji selok-belok mengenai pengeluaran rancangan ini dan
    telah mencadangkan bahawa ianya disiarkan satu bulan sebagai program perintis.
          Cadangan ini telah dikemukakan
    kepada YB. Menteri Penerangan yang telah bersetuju supaya projerk perintis dilaksanakan
    dalam bulan Disember 1979. Y.B Menteri Penerangan juga telah bersetuju untuk menyiarkan
    program ini mulai daripada lhb Januari, 1980.
         Program ini meliputi aspek-aspek
    ekonomi, politik dan sosial tanah air yang bermula daripada tahun 1400 sehingga kini.
    Perkara-perkara di dalam sejarah perkembangan politik termasuk Kesultanan Melaka,
    kedatangan kuasa-kuasa Barat, pergolakan Negeri-negeri Melayu, Perang Dunia Kedua,
    Kemerdekaan dan sebagainya diberi perhatian. Di samping itu di dalam soal ekonomi
    perkara-perkara seperti ekonomi tradisional, zaman pendudukan Jepun telah juga mendapat
    perhatian. Perkembangan sosial di dalam pelajaran, kebudayaan, kesusasteraan dan
    sebagainya juga dititikberatkan.
            Program ini telah mula disiarkan
    pada l hb Januari, 1980 dan berakhir buat sementara waktu pada 31hb Disember, 1980
    kemudian telah disambung semula pada tahun 1981 hinggalah ke hari ini. Di dalam kajian
    yang telah dijalankan oleh RTM telah didapati bahawa program ini yang telah disiarkan
    melalui Radio Malaysia dan Televisyen Malaysia di dalam siaran-siaran bahasa Melayu,
    Inggeris, China dan Tamil adalah merupakan satu rancangan yang sungguh popular. Arkib
    Negara sendiri juga menerima sanjungan daripada orang ramai terhadap usaha yang dijalankan
    ini. Di samping itu, tidak kurang pula diterima teguran-teguran yang membina daripada
    orang ramai mengenai rancangan tersebut. Permintaan telah banyak diterima supaya bahan
    yang disiarkan itu dibukukan untuk digunakan oleh orang ramai khususnya para pelajar
    sebagai bahan rujukan. Di atas kehendak ini, maka Arkib Negara mengeluarkan 7 jilid buku
    yang mengandungi skrip-skrip program 'Hari Ini Dalam Sejarah'. Hari ini dengan kemajuan
    teknologi sekali lagi Arkib negara meneroka dan mengeksplotasi kemajuan teknologi maklumat
    dengan menyediakan produk Hari ini Dalam Sejarah dalam bentuk "Online" kepada
    pengguna dan ini juga sejajar dengan usaha kerajaan menyampaikan maklumat secara yang
    paling cepat dan interaktif kepada rakyat. Hari ini Dalam Sejarah Online ( HIDS Online )
    boleh dicapai menerusi Homepage Arkib Negara Malaysia http://www.arkib.gov.my 
           Semoga persembahan dalam tiga
    pendekatan ini iaitu Siaran melalui Radio dan Televisyen; Terbitan berbentuk buku sebanyak
    7 jilid dan terkini melalui Capaian Internet ini akan menjadi satu sejarah yang kekal
    mengenai usaha Arkib Negara dalam menyediakan kemudahan dan faedah kepada pelajar-pelajar,
    orang ramai dan generasi muda untuk mengenali sejarah negara dengan lebih dekat lagi.